Isnin, 22 April 2019

Perubatan Tradisional Suku Bateq

#orangasli

Orang Asli Batek guna ubat tradisional ubati penyakit kulit

GUA MUSANG - Penyakit kulit bersisik dan gatal dialami kira-kira 120 penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, di sini, beransur sembuh apabila mereka menggunakan ubat tradisional diusahakan sendiri.

Seorang penduduk Orang Asli, Ani Ong, 35,  mendakwa mereka menemukan penawar apabila menggunakan kapur sireh dan pucuk lada yang ditanam sekitar rumah untuk menyembuhkan penyakit itu.

Katanya, hasil daripada berubat cara tradisional itu sebilangan besar penduduk yang dijangkiti penyakit berjangkit itu beransur sembuh.

“Kami tumbuk pucuk lada bersama kapur sireh dan sapu pada kulit yang gatal.

“Bagaimanapun, terdapat juga penduduk yang sembuh apabila menggunakan ubat tradisional itu dan tidak lama kemudian dijangkiti semula. Namun, keadaan mereka tidak serius seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Anisah Pinang, 28, pula berkata, empat anaknya yang berumur tiga hingga tujuh tahun yang dijangkiti penyakit itu juga semakin sembuh apabila menggunakan ubat ramuan kampung.

“Setakat ini, kita belum menerima sebarang rawatan daripada mana-mana pihak sejak penyakit itu merebak tiga bulan lalu hingga terpaksa berusaha sendiri mencari ubat tradisional.

“Walaupun badan anak saya masih gatal tetapi tidaklah serius seperti sebelumnya selepas disapu kapur sireh dan bersama pucuk lada," katanya.

Seorang lagi penduduk, Jamil Hendi, 23, pula berkata, sejak akhir-akhir ini penduduk yang dijangkiti penyakit kulit hampir separuh daripada 300 penduduk kampung itu.

Katanya, cara perubatan moden juga sudah digunakan sebelum ini, namun tidak berkesan.

“Kita menafikan tuduhan pihak tertentu yang menyatakan kita tidak memberi kerjasama dan lari masuk hutan kerana takut buat rawatan penyakit.

“Kita berharap supaya pihak kesihatan datang secara lebih kerap ke Kampung Kuala Koh untuk memberi rawatan kepada penduduk kerana kedudukan kampung yang jauh dari bandar,” katanya.

Tiada ulasan: