Rabu, 22 Mei 2019

Suku kensiu 1924

Title: Semang Kensiu
Year: 1924
By: Paul Schebesta
Source: Austrian National Library

Selasa, 21 Mei 2019

Orang Asli suku Temiar,Perak

Wanita orang asli dari Perak mungkin dari kaum Temiar sekitar 1934-35
Jurufoto : Louis Carrard / François de Chasseloup-Laubat
Koleksi : Musée de l'Homme (Photothèque)

Ahad, 19 Mei 2019

Orang Asli relong,Pahang tahun 1934



Lelaki dari Sungai Relong Pahang sekitar 1934-35
Photographe : Louis Carrard (actif 1934 - 1935) ;
Photographe : François de Chasseloup-Laubat (1904 - 1968)
Précédente collection : Musée de l'Homme (Photothèque)

Credit :FB Sham Aziz

Jumaat, 17 Mei 2019

WIRA TANAH ADAT ORANG ASLI/ASAL

SAGONG TASI: WIRA & PEJUANG MASYARAKAT ORANG ASLI YANG TIDAK DIDENDANG

Pada tahun 1995, kira-kira 40 buah keluarga suku Temuan Orang Asli telah diusir dari rumah mereka di Kampong Bukit Tampoi, Dengkil, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya KLIA-Nilai.

Rumah-rumah mereka, hasil tanaman dan ternakan suku Temuan ini dihancur dan dimusnah oleh anggota-anggota FRU dan jentolak-jentolak milik pihak berkuasa. Mereka yang diusir tidak diberi pampasan setimpal, meskipun tanah adat dirampas begitu sahaja.

Pada ketika itu, undang-undang Malaysia tidak mengiktiraf sebarang tanah adat. Pada ketika itu, kerajaan Barisan Nasion menguasai lebih dua pertiga Dewan Rakyat dan Dewan Negeri Selangor.

Tetapi Sagong Tasi bersama lebih 30 keluarga memberanikan diri ke depan. Mereka membuat keputusan untuk saman Kerajaan Persekutuan Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) bagi membela hak komuniti Orang Asli.

Orang ramai menganggap kes mahkamah Sagong Tasi vs Kerajaan sebagai pertarungan David dan Goliath.

Tetapi keberanian Sagong Tasi dan suku Temuan Kampong Bukit Tampoi akhirnya membuahkan hasil. Pada tahun 2002, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat ruling bahawa suku Temuan adalah pihak yang mempunyai hak ke atas tanah adat Kampong Bukit Tampoi.

Sagong Tasi bersama dua lagi pemimpin komuniti Temuan telah memainkan peranan yang cukup besar dalam meyakinkan pihak mahkamah bahawa adat, kepercayaan, budaya, tradisi dan cara kehidupan suku Temuan masih diwarisi secara turun temurun dalam kalangan Orang Asli, khususnya suku Temuan di Kampong Bukit Tampoi.

Tidak puas hati, kerajaan BN dan pemaju merayu keputusan tersebut ke peringkat Mahkamah Rayuan. Pada tahun 2005, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi, dan mengarah kerajaan serta pemaju membayar pampasan kepada penduduk suku Temuan yang tanahnya dirampas.

Namun, sekali lagi kerajaan BN merayu keputusan Mahkamah Rayuan ke peringkat tertinggi, yakni Mahkamah Persekutuan.

Tetapi belum sempat rayuan terakhir didengar oleh Mahkamah Persekutuan, Pakatan Rakyat telah berjaya mengambil alih pentadbiran negeri Selangor pada 8 Mac 2008.

PR dengan kadar serta merta menangguhkan rayuan yang difailkan kerajaan BN sementara kerajaan Selangor mengkaji semula kedudukan negeri Selangor berkenaan hak-hak orang asal.

Pada bulan 22 April 2009, sebagai bukti komitmen Pakatan Rakyat terhadap hak-hak orang asal, rayuan tersebut secara rasminya ditarik balik.

Tindakan tersebut disusuli dengan pembentukan Badan Bertindak Tanah Orang Asli yang diselia oleh YB Elizabeth Wong, bagi tujuan melatih komuniti Orang Asli memetakan tanah adat mereka, serta membuat program-program kesedaran mengenai hak-hak Orang Asli.  Hasilnya, lebih 35 kampung Orang Asli di seluruh negeri Selangor telah diwartakan sehingga hari ini.

Pada bulan Mei 2010, hasil peranan kerajaan negeri sebagai pengantara, kedua-dua pihak, yakni suku Temuan dan pemaju pun mencapai persetujuan pampasan untuk dibayar kepada setiap keluarga yang tanahnya dirampas.

Pada November 2014 pula, dalam pembentangan belanjawan tahun 2015, YAB Dato' Menteri Besar Azmin Ali telah mengumum bahawa sejumlah RM10 juta telah diperuntukkan untuk menubuhkan suatu tabung biasiswa sempena Sagong Tasi.

Biasiswa Sagong Tasi ini bertujuan membiayai penuh pengajian anak-anak Orang Asli di UNISEL, KUIS ataupun INSPENS. Dan Deana Rose dari suku Mah Meri di Pulau Carey, Klang telah menjadi pemegang biasiswa pertama.

Biasiswa Sagong Tasi dikekalkan oleh kerajaan negeri sehingga hari ini. Satu, demi mengenang peranan Sagong Tasi. Kedua, demi memudahkan akses golongan Orang Asli kepada pendidikan berkualiti. Terbaru-baru ini, dalam belanjawan negeri Selangor 2019, YAB Dato' Menteri Besar Amirudin Shari telah mengumum bahawa Biasiswa Sagong Tasi adalah sebahagian daripada sejumlah RM16.6 juta yang diperuntukkan untuk tujuan biasiswa pendidikan.

Pada kira-kira 11.15 malam, 14hb April 2019, Sagong Tasi yang berumur 88 tahun telah meninggal dunia.

Insan ini tokoh yang disanjung oleh masyarakat Orang Asli kerana keberaniannya menegakkan hak-hak Orang Asli. Perjuangannya akan dikenang selama-lamanya. Kes mahkamah yang dimenanginya akan kekal menjadi sumber rujukan peguam-peguam dan pejuang-pejuang hak dan tanah adat Orang Asal. Dan namanya akan terus menjadi inspirasi perjuangan kepada komuniti-komuniti yang tertindas.

Sesungguhnya pejuang masyarakat ini telah memberi dampak positif kepada komunitinya. Agak jelas, hasil keberanian, kesungguhan dan semangat Sagong Tasi dalam membela hak Orang Asli lebih dua dekad yang lalu, kedudukan Orang Asli kini lebih terbela berbanding dahulu.

Ninik Sagong, semoga tenang di sana.

SALUTE

https://www.nst.com.my/news/nation/2017/05/239812/meet-pahang-teacher-who-bikes-135km-daily-teach-orang-asli-kids

Khamis, 9 Mei 2019

CERITA RAKYAT
BAIK SEBELUM : 16 APRIL 1997

Kejadian ini berlaku 2 tahun lepas, sewaktu aku dalam perjalanan ke ibu kota untuk melanjutkan pelajaran. Memandangkan itu kali pertama aku akan berjauhan dengan keluarga, maka ibu dan bapa aku telah membuat keputusan untuk menghantarku ke pusat pengajian. Mahu tengok tempat, katanya.

Perjalanan aku dari rumah di Jerantut bermula jam 9 pagi. Setelah beberapa jam berada di atas lebuh raya, maka ayah pun berhenti di sebuah pusat rehat dan rawat yang besar dan terkenal di Pahang. Selepas menjamu makanan, aku pun pergi ke tandas untuk melepaskan hajat besar. Selesai melepaskan hajat, aku pun menarik pam sebanyak tiga kali. Walaupun menarik pam sebanyak satu kali sudai memadai, namun sudah menjadi tabiat aku untuk menarik pam tandas sebanyak tiga kali untuk memastikan tiada sisa yang terzahir.

Apabila sempurna segalanya, aku pun membuka pintu dan melangkah keluar. Aku bergerak ke sinki untuk mencuci tangan dan waktu aku, aku merasakan sesuatu yang berbeza. Waktu itu, aku fikir, mungkin mainan perasaan sahaja.

Maka aku pun terus bergerak ke meja makan ibu dan ayah, tetapi mereka tiada. Meja tersebut sudah diduduki orang lain. Aku pun mengambil telefon bimbit untuk membuat panggilan namun tiada perkhidmatan. Lalu aku pun bergegas ke tempat meletak kereta, namun kereta bapa tidak aku jumpa.

Perasaan aku semakin resah. Fikiran aku buntu. Kerana tidak tahu hendak buat apa, aku pun medan selera. Sedang aku duduk, aku amati keadaan sekeliling. Waktu itu, aku dapati keadaan yang berbeza.

Meja dan kerusi tidak sama seperti yang aku lihat sewaktu baru sampai tadi. Kereta yang lalu lalang kebanyakkannya kereta lama yang aku sendiri tidak tahu namanya. Tiada langsung kelihatan kereta MyVi. Cara pemakaian orang sekeliling juga jauh berbeza. Rata-rata wanita tidak mengenakan hijab. Yang memakai hijab boleh dikira dengan jari. Golongan remaja pula menghiburkan diri dengan musik menggunakan sesuatu yang kelihatan seperti iPod, tetapi jauh lebih tebal dan besar. Ada yang berbentuk segi empat, dan ada juga yang berbentuk bulat.

Setelah duduk di situ beberapa ketika, aku pun merasa dahaga. Maka aku pun pergi ke kedai menuman, minta air Milo ais, lalu menghulurkan sekeping RM5 kepada penjaga kedai. Penjaga kedai itu meneliti wang aku, lalu menyatakan yang ianya palsu. Aku merasa amat terkejut dan menyatakan bahawa itu wang betul.

Dia pun memanggil rakan sekerjanya lalu menunjukkan wang aku, dan rakan sekerjanya turut setuju dengan kenyataan bahawa wang RM5 aku itu palsu. Dia pun menunjukkan wang RM5 yang sebenar. Memang ternyata berbeza. Wang RM5 aku seakan-akan plastik, manakala wang RM5 mereka tidak begitu. Walaupun warnanya sama hijau, namun ianya berbeza. Kerana tidak mahu berkelahi, aku pun mengalah dan berlalu pergi.

Waktu itu, aku sungguh-sungguh buntu. Maka aku pun pergi ke tempat yang agar tersorok dan menangis. Aku tidak tahu apa yang sudah terjadi. Kenapa keadaan begitu aneh sekali. Sehingga aku didatangi seorang jejaka. Dia duduk di sebelah aku dan meletakkan sekotak minuman berhampiran denganku. Aku cuma menjeling, tidak berbuat apa-apa.

“Minum dulu, nanti aku tolong selesaikan masalah kau” kata lelaki itu bersahaja. Sepantas kilat, aku mengambil air susu kotak dan minum dengan segera. Lelaki itu menyalakan sebatang rokok lalu berkata “Aku tak tahu macam mana kau boleh sampai ke sini, tapi yang pasti, ini bukan tempat kau. Kau dah sesat.”

Aku diam dan angguk. “Kalau kau nak balik, kau perlu buat perkara sama yang kau buat sebelum sampai ke sini. Kau fikir lah, apa yang kau buat, tapi orang lain tak buat?” Lelaki itu pun mematikan rokoknya dan berlalu pergi begitu sahaja. Tidak sempat aku nak bertanya apa-apa.

Sambil membawa air susu kotak, aku pun berlari ke tandas, masuk ke jamban ketiga, jamban sama yang aku masuk sebelum keanehan ini berlaku, lalu menarik pam sebanyak tiga kali. Selepas beberapa ketika, aku pun melangkah keluar dengan perlahan-lahan. Perkara pertama yang aku lihat adalah kerata, aku nampak MyVi. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya aku untuk melihat kereta MyVi ketika itu.

Kaki aku pun bergerak pantas menuju ke medan selera untuk cari ibu dan ayah, tetapi mereka tidak ada. Di tempat letak kereta pun begitu juga. Kemudian, aku keluarkan telefon bimbit lalu menelefon ibu. Ibu mengangkat lalu menjerit bertanyakan lokasi. Aku menyatakan bahawa aku di pusat rehat dan rawat. Ibu berkali-berkali menyebut nama Tuhan lalu menyuruh aku tunggu, mereka akan mengambil aku dengan segera. Kata ibu, sudah tiga hari mereka mencari aku tetapi tidak jumpa.

Sambil menunggu ibu, aku pun menghabiskan air susu kotak yang tersisa. Apabila aku hendak buang kotak ke dalam tong sampah, aku ternampak melihat tulisan kecil yang dicetak di atas kotak tersebut. Ianya bertulis ‘BAIK SEBELUM : 16 APRIL 1997’.

#fop
#facesofpahang
#ceritarakyat
#pahang

SAKAI buruk atau baik?

"SAKAI" perkataan yg sangat sensitif bagi Masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia pada masa kini.ianya sering disalahgunakan utk merujuk sesuatu maksud yg buruk, sehinggakan seorang personaliti tv terkenal di rancangan live beliau telah mengunakan perkataan Sakai  merujuk kpd maksud yg tidak sihat.

ketahuilah maksud "SAKAI" yg sebenar adalah " SAHABAT, KAWAN, RAKAN "

bagi masyarakat Melanau di Sarawak, ‘SAKAI’ juga bermaksud ‘kawan atau sahabat’.manakala bagi  masyarakat Murut,ia bermaksud ‘orang atau manusia’.

perkataan SAKAI sebenarnya berasal drpd bahasa sanskrit yg pd awalnya berbunyi " SAKHAA, SAKHI, SAKHAIVA" yg merujuk kpd kawan.oleh kerana pelat lidah tempatan dan evolusi bahasa dan juga kurang caknanya kpd makna sebenar bahasa tersebut maka masyarakat pd masa kini menggunakan perkataan SAKAI dlm kehidupan mereka sbg merujuk kpd maksud yg negatif,mengutuk dgn bertujuan utk merendahkan orang lain.

dan yg paling menyedihkan apabila perkataan  "SAKAI" dikamuskan dgn maksud yg bersifat negatif.so bila dah dikamuskan sampai cucu cicit lah makna tersebut kekal 😩

Rabu, 8 Mei 2019

Hari moyang mahmeri

07/05/2019~SELASA
#SambutanHariMoyang
#KampungOrangAsalAsliSungaiBELANKAN

Jangan seakan menongkat LANGIT,
Biar sedari di mana BERPIJAK,
Adat resam bukan MEMBINGIT,
Harus pertahan bukan di PAJAK 😎

hargailah warisan adat resam nenek moyang kita,ia adalah sebahagian dari lambang identiti keturunan suku2 bangsa Orang Asal/Asli kita..
Tanpa HAL itu,kita mungkin tidak segah di kehidupan hari ini..

Ps:
#SAYANGIwarisanNenekMoyang
#WakilWarisanSukuKaumMahmeri









Selasa, 7 Mei 2019

Sejarah Dengkil

SEJARAH DENGKIL
PENGENALAN KEPADA ASAL USUL NAMA DENGKIL
            Dengkil merupakan sebuah kampung yang luas dan meliputi beberapa buah kampung lain. Kampung ini mempunyai keluasan tanah kira-kira 5310 ekar. Menurut sumber lisan suatu ketika dahulu, terdapat dua sumber yang menyatakan bahawa nama Dengkil ini telah diberi oleh seorang Tok Batin di kalangan kaum Orang Asli yang bernama Tok Batin Nalih a/l Jembik. Beliau menamakan kampung ini sebagai ‘Dingkil’ yang membawa maksud buah durian yang tidak berisi tetapi mempunyai biji yang besar. Pada ketika itu terdapat banyak pokok durian hidup di tebing Sungai Langat yang kerap berbuah dan disebut oleh orang Asli sebagai ‘Dingkil’. Dan lama kelamaan sebutannya telah berubah menjadi Dengkil.
            Selain itu, ada pula yang menyatakan bahawa nama Dengkil berasal dari Sungai Langat yang ‘Dengkat’ atau maksud lain kawasan sungai yang lebih cetek sepanjang sungai tersebut. Sungai ini bertemu dengan Sungai Semenyih yang terletak di kawasan Jenderam. Sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an, sungai ini mempunyai banyak ikan dan udang galah. Namun, lama-kelamaan sungai ini mula menjadi keruh dan hasil hidupan didalam sungai tersebut turut pupus dan akhirnya perkataan ‘Dengkat’ ini berubah menjadi Dengkil yang disebut oleh para penduduk sehingga kini.
            Disamping itu, terdapat juga sumber lain yang turut menyatakan bahawa Dengkil membawa maksud Sungai Naga jika diterjemahkan ke dalam bahasa Cina. Mengikut cerita yang telah diturunkan oleh salah seorang warga tempatan, terdapat seekor naga besar telah bertapa di Dengkil selama 900 tahun dan naga tersebut akan menjadi dewasa setelah bertapa untuk tempoh 100 tahun lagi.
            Semenjak daripada itu, orang British mula menjejakkan kaki dan meneroka kawasan Dengkil. Naga tersebut telah dibakar dan memuntahkan darah yang berwarna hitam. Pengaliran darah naga tersebut telah membentuk sebuah sungai yang berwarna hitam airnya. Dan akhirnya, sungai tersebut telah diberi nama Air Hitam yang masih kekal namanya sehingga kini.
            Mengikut kepercayaan orang Cina, tangisan naga tersebut sering kedengaran akibat kesakitan yang dihadapinya di sepanjang sungai Air Hitam. Berikutan itu, sungai ini terbentuk daripada darah naga dan orang Cina menamakannya sebagai Leng Qi yang membawa maksud Sungai Naga. Perkataan Leng Qi mempunyai bunyi yang sama dengan perkataan Dengkil.
            Kelahiran kawasan Dengkil ini juga bermula apabila wujudnya perjumpaan hasil bijih timah. Di sepanjang Sungai Langat, sungai tersebut amat kaya dengan bijih timah. Kedudukan Dengkil yang terletak dengan aliran sebelah atas adalah kira-kira 30 kilometer. Sungai Langat ini telah membawa kepada wujudnya pembentukan kawasan tanah paya bakau di dalam kawasan Dengkil dan Sepang. Pada akhir kurun ke-19, kegiatan perlombongan bijih timah yang giat dijalankan di Sungai Langat telah membawa kepada pembentukan kawasan penempatan orang Cina.

ASAL – USUL NAMA DENGKIL
Sehingga kini, penduduk Dengkil masih belum mengenalpasti sumber berkenaan dengan asal-usul nama Dengkil. Jika suatu ketika dahulu, seorang penduduk yang berketurunan orang Asli menggelarkan Dengkil adalah berasal daripada perkataan ‘Dingkil’ yang membawa maksud buah durian yang tidak berisi tetapi mempunyai biji yang besar. Hal ini membuktikan bahawa suatu ketika dahulu, ditepi Sungai Langat terdapat banyak pokok durian yang kerap berbuah. Disebabkan itu, orang Asli menamakan ianya sebagai ‘Dingkil’ dan akhirnya perkataan tersebut membawa kepada nama Dengkil yang digunakan sehingga kini. Menurut orang sumber, beliau juga mengemukakan pendapat yang hampir sama bahawa nama Dengkil ini berasal dari buah durian. Beliau menyatakan bahawa pada tahun 1956 terdapat lapan orang Melayu yang datang dari Sungai Buaya dan mengikut Sungai Langat dan akhirnya mendarat di Jambatan Lama Dengkil. Ditepi Sungai Langat tersebut terdapat pokok durian dan  dua daripada  pokok durian tersebut terdapat buah durian yang tidak berisi tetapi mempunyai biji yang besar. Pokok durian itu dinamakan ‘Durian Dengkil’.
            Selain itu, terdapat juga sumber yang menyatakan bahawa nama Dengkil berasal daripada perkataan ‘Dengkat’ yang membawa maksud sungai yang cetek. Menurut sumber terdahulu disepanjang Sungai Langat terdapat satu kawasan yang lebih cetek. Sungai ini bertemu dengan Sungai Semenyih yang terletak di kawasan Jenderam Hilir. Sungai Langat ini juga terdapat hasil hidupan sungai seperti ikan dan udang galah. Lama-kelamaan hidupan tersebut mula pupus akibat kekeruhan yang berlaku di sepanjang sungai tersebut. Pendapat ini juga hampir menyerupai dengan pandangan dari orang sumber. Menurut pengetahuan beliau, suatu ketika dahulu terdapat beberapa orang Asli menyatakan bahawa ada sebatang sungai yang dipanggil Sungai Merba. Air sungai ini mengalir masuk terus ke Sungai Langat. Akibat daripada pengaliran air sungai tersebut, pasir dan tanah Di Sungai Merba juga turut dialirkan bersama sehingga menyebabkan sungai tersebut menjadi cetek. Beliau juga menyatakan bahawa suatu ketika dahulu terdapat beberapa orang yang menaiki perahu melalui sungai tersebut. Sebaik sahaja di tengah perjalanan, perahu yang dinaiki oleh mereka telah tersangkut akibat keadaan sungai yang cetek. Selepas peristiwa itu, sungai itu sering disebut sebagai sungai yang ‘Dengkat’ yang membawa maksud tohor ditengah sungai atau cetek.

KEISTIMEWAAN DENGKIL
            Sebelum era 1990-an, Dengkil sememangnya kaya dengan sumber-sumber bahan mentah dan keindahan alam semulajadi. Oleh itu, maka telah wujud kawasan perlombongan bijih timah, ladang kelapa sawit dikawasan estet, ladang penternakan lembu dan kambing serta kawasan industri perkilangan. Dengan adanya kawasan-kawasan tersebut, kegiatan ekonomi yang dijalankan juga turut berkembang dengan amat pesat dan akhirnya telah membawa kepada perubahan yang menjadikan kawasan Dengkil ini semakin membangun dengan begitu maju. Misalnya, perkembangan yang telah diwujudkan adalah pembinaan kilang-kilang industri pemprosesan kelapa sawit dan kilang pemprosesan hasil galian bijih timah. Akibat daripada kepesatan kemajuan kegiatan ekonomi di kawasan Dengkil, hal ini turut menarik pandangan sesetengah pihak luar untuk memajukan dan cuba untuk memperkembangkan lagi kawasan Dengkil. Antara pembinaan pembangunan yang giat dijalankan pada ketika itu ialah pembinaan kawasan-kawasan perumahan yang bagaikan ‘cendawan sedang bertumbuh’.
            Bukan itu sahaja, Dengkil juga terdiri daripada pelbagai kaum iaitu kaum Melayu, Cina, India, dan orang Asli. Secara majoriti, penduduk Dengkil kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu. Manakala kaum India pula merupakan kaum kedua yang terbanyak menetap dikawasan Dengkil dan kemudiannya diikuti oleh kaum Cina. Bagi kaum bumiputera seperti orang Asli, bilangannya tidak begitu banyak. Oleh itu, apabila wujudnya pelbagai kaum yang menetap dikawasan Dengkil, maka setiap adat dan cara hidup kaum masing-masing dapat dikenali antara satu sama lain. Misalnya, majlis perkahwinan yang diadakan oleh setiap kaum yang berlainan. Apabila adanya majlis-majlis seperti ini, penduduk Dengkil semestinya mengutamakan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan kaum. Hal ini menunjukkan bahawa, apabila sesuatu majlis itu diadakan sama ada ianya secara formal atau tidak formal, mereka semestinya akan menjemput tetamu yang berlainan kaum. Maka dengan ini, terbuktilah bahawa penduduk di Dengkil sememangnya menerapkan unsur nilai-nilai murni di dalam diri masing-masing. Sikap saling hormat-menghormati, saling bertolak ansur dan bantu-membantu merupakan tunjang utama dalam memupuk hubungan silaturahim antara kaum. Di samping itu, setiap kaum ini juga dapat mengenali tentang unsur budaya serta amalan masing-masing dengan lebih dekat dan terperinci.
            Seterusnya, dari segi kedudukan lokasi, Dengkil sememangnya berada pada kedudukan yang begitu strategik. Oleh disebabkan itu, kerja-kerja penaiktarafan perhubungan jalanraya yang menghubungkan Dengkil kesemua kawasan mula dijalankan. Antara projek penaiktarafan dan penubuhan pembangunan modenisasi adalah seperti Cyberjaya, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Oleh disebabkan mula terbinanya pembangunan ini, maka Dengkil mula dikenali sedikit demi sedikit oleh ramai pihak. Disamping itu, kebanyakan pihak memilih untuk menduduki di kawasan Dengkil kerana faktor kedudukannya yang strategik serta faktor kemudahan perhubungan dan prasarana yang terdapat di Dengkil. Oleh itu, Dengkil kini telah menjadi kawasan pertengahan yang menghubungkan diantara Putrajaya, Cyberjaya, KLIA dan arah laluan menghala lebuhraya susur ke Kuala Lumpur.

PERKEMBANGAN YANG WUJUD DI DENGKIL
            Sebelum era 1990-an, Dengkil sememangnya telah menyediakan kemudahan kepada semua penduduk tempatan tetapi kemudahan yang disediakan pada ketika itu amat terhad. Antara jenis kemudahan yang terdapat di Dengkil sebelum memasuki tahun 1990-an ialah sekolah, pejabat pos, balai polis, perhentian teksi dan kereta sewa, kemudahan bas serta kemudahan perhubungan jalan raya. Namun, segala kemudahan ini telah mula dibaikpulih dan dimajukan bagi menampung jumlah penduduk di kawasan Dengkil yang kian meningkat dari semasa ke semasa.

KEGIATAN EKONOMI
            Sebelum era 1990-an, kegiatan ekonomi yang telah dijalankan oleh penduduk Dengkil adalah terdiri daripada kegiatan perlombongan, kegiatan pertanian dikawasan estet dan kegiatan perniagaan. Oleh itu, terdapat beberapa pembahagian dimana setiap kaum ini menjalankan kegiatan ekonomi yang berbeza. Suatu ketika dahulu, kebanyakkan penduduk kaum Melayu menetap dari kawasan Pekan Dengkil sehingga Batu 31. Manakala, kaum Cina pula menetap di Perkampungan Cina iaitu Kampung Baru Dengkil. Menurut orang sumber, perkampungan Cina ini mula wujud semasa berlakunya darurat di kawasan Batu 1 dan Air Hitam. Seterusnya, penduduk kaum India pula kebanyakannya menetap di kawasan estet. Antara kawasan yang menjadi tempat tinggal penduduk kaum India ialah Ampar Tenang Estet dan H.N.Ridley Estet.
            Menurut orang sumber, Lombong Timah Langat di Dengkil itu merupakan tapak perkampungan melayu suatu ketika dahulu. Perkampungan melayu tersebut telah diambil alih oleh pihak kerajaan pada masa itu untuk dijadikan kawasan perlombongan. Oleh disebabkan penduduk dari perkampungan melayu tersebut tiada tempat untuk menetap, maka sebuah perkampungan telah diwujudkan iaitu Kampung Dato’Ahmad Razali. Pada asalnya, tapak kawasan tersebut merupakan kawasan perladangan estet kepunyaan Chung Kiow Estate yang digiatkan oleh kaum India. Namun kawasan tersebut telah diambil oleh pihak kerajaan terdahulu dan mewujudkan sebuah perkampungan yang dipanggil Kampung Dato’Ahmad Razali. Setelah itu, penduduk kaum melayu dari kawasan perkampungan melayu telah dipindahkan ke kampung tersebut. Sebelum era 1990-an, penduduk kaum Melayu ini mula menggiatkan sektor perlombongan yang menjadi sumber ekonomi utama di Dengkil pada ketika itu. Antara kawasan perlombongan yang menjadi kegiatan utama kaum Melayu ialah Lombong Timah Langat, Selangor Dredging dan Perlombongan Kok Seng.
            Bagi kaum India mereka hanya tertumpu kepada kegiatan perladangan estet. Suatu ketika dahulu, kebanyakkan kaum India menetap di kawasan estet yang berhampiran dengan sempadan Pulau Meranti. Antara kawasan perladangan estet yang menjadi tumpuan utama kaum India menggiatkan sektor tersebut adalah Ampar Tenang Estate, Perang Besar Estate dan H.N.Ridley Estate. Namun sekitar tahun 1994, tanah telah mula diambil oleh pihak kerajaan untuk kerja-kerja pembangunan. Oleh disebabkan itu, kebanyakkan kaum India mula berpindah ke sebuah perumahan flat iaitu Flat Taman Permata. Perumahan tersebut telah ditubuhkan khas untuk kaum India yang melibatkan diri dalam kegiatan estet. Situasi tersebut juga telah menunjukkan bahawa sesetengah penduduk kaum India mula mencuba untuk menceburkan diri dalam sektor perkilangan. Sehingga kini, masih ada lagi penduduk kaum India yang melakukan kerja-kerja di ladang estet dan ada juga yang terlibat dalam sektor perindustrian terutamanya di kilang-kilang.

KEMUDAHAN ASAS DAN PRASARANA

SEKOLAH KEBANGSAAN DENGKIL
            Pada awalnya, sekolah ini dipanggil Sekolah Melayu Dengkil ataupun Sekolah Umum yang telah ditubuhkan pada tahun 1926. Tapak asal sekolah ini pada asalnya terletak di Pekan Dengkil namun tapak tersebut kini tidak lagi digunakan dan dijadikan sebuah Balai Raya di kawasan tersebut. Pada awal pembukaan, bangunan sekolah ini merupakan sebuah bangunan kayu yang berdindingkan papan sekerat dan beratap nipah. Manakala meja dan kerusi untuk para pelajar dihasilkan daripada papan yang berbentuk panjang. Guru Besar pertama yang menerajui sekolah ini ialah Encik Ahmad bin Hamid dan bilangan pelajar pada awal pembukaan sekolah ini adalah seramai 35 orang.
            Setelah berlakunya pertambahan penduduk dari semasa ke semasa, ia juga turut membawa kepada jumlah pelajar yang ramai. Pada tahun 1927, sebuah bangunan telah didirikan yang terletak kira-kira ½ batu dari tapak sekolah lama. Bangunan ini terdiri daripada tiga buah bilik darjah sahaja bagi menampung lima aliran kelas iaitu bermula dari Darjah Satu sehingga Darjah Lima. Sepanjang tempoh pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, Sekolah Melayu Dengkil tidak banyak terlibat dalam situasi peperangan sepertimana yang telah berlaku di beberapa buah sekolah yang berhampiran. Oleh disebabkan itu, kesemua para pelajar tidak terganggu dengan keadaan tersebut dan dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa.
            Setelah Jepun mula menyerah kalah pada tahun 1945 dan kemudiannya telah diambil alih oleh pihak British, pentadbiran Sekolah Melayu Dengkil sering bertukar ganti Guru Besar sehingga menjelang tahun 1956. Oleh itu, setelah berlakunya peristiwa kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, telah banyak perubahan yang berlaku di sekolah ini dan akhirnya sekolah ini mula mengalami pembaharuan dari segi jenis pembangunan, sistem pentadbiran sekolah serta bilangan guru dan pelajar yang kian meningkat setiap tahun.

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN DENGKIL
            Sekolah ini mula ditubuhkan pada Januari 1967, dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor pada ketika itu, iaitu Dato’Ahmad Razali bin Mohd Ali pada tanggal 11 Januari 1970. Pada awalnya, sekolah ini memulakan operasi dengan hanya menumpang di Sekolah Kebangsaan Dengkil. Jumlah kapasiti guru pada ketika itu adalah seramai 4 orang manakala bilangan pelajar pula seramai 90 orang.
            Menjelang tahun 1970, bilangan pelajar mula meningkat seramai 169 orang dan bilangan guru telah meningkat kepada 6 orang. Sekolah ini telah memulakan operasi dengan hanya menggunakan 7 buah kelas sahaja. Ketika memasuki tahun1975, bangunan Blok A, kantin sekolah dan bangunan bengkel Kemahiran Hidup mula dibina. Pada tahun 1976, kerja-kerja pembinaan bangunan Blok B dan Blok C turut dijalankan dan disiapkan begitu juga dengan bangunan Blok D dan dewan utama. Menjelang tahun 1988, bangunan Blok E telah siap dibina dan ia telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia pada ketika itu iaitu Dato’Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 1999.
            Setelah memasuki tahun 2000, sekolah ini mempunyai 6 blok bangunan, sebuah Dewan Utama, 6 buah bengkel Kemahiran Hidup, sebuah Makmal Komputer iaitu Makmal Bestari, sebuah Bilik Simulasi, 6 buah rumah guru, sebuah kantin dan sebuah surau. Bilangan guru pada ketika itu mula mengalami peningkatan iaitu seramai 90 orang dan bilangan pelajar pula meningkat kepada 1,500 orang. Kemudiannya, bangunan Blok F telah siap dibina dan mula digunakan pada tahun 2003. Blok tersebut terdiri daripada 2 buah Makmal Matematik dan kelas-kelas untuk pelajar Tingkatan Lima. Sehingga kini, bilangan guru dan pelajar seringkali meningkat dan pentadbiran sekolah juga turut dijalankan dengan lebih sistematik berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.

BALAI POLIS DENGKIL
Balai Polis Dengkil mula ditubuhkan sekitar tahun 1928 dan balai polis ini mempunyai persamaan dengan Balai Polis Batu 14, Hulu Langat.  Hal ini membuktikan bahawa kedua-dua buah balai polis ini diwujudkan di tebing Sungai Langat yang menyebabkan kepada faktor-faktor perhubungan dan perniagaan pada ketika itu.
            Tapak balai polis tersebut masih lagi dikekalkan sehingga kini. Suatu ketika dahulu, Balai Polis Dengkil dianggap sebagai Balai Pengamanan yang dianggotai oleh seorang Lans Koperal dan tiga orang mata-mata. Selepas beberapa tahun, Balai Polis Dengkil telah mula mengalami perubahan dari semasa ke semasa dari segi sistem pentadbiran, bilangan anggota polis dan kerja-kerja pembaharuan balai tersebut. Hal ini membuktikan bahawa pada tahun 1939, bilangan anggota polis telah bertambah melalui penglibatan seorang Lans Koperal dan enam mata-mata.  Kemudiannya, berlaku sekali lagi penambahan di mana sistem pentadbiran balai polis ini diketuai oleh seorang Sarjan dan dibantu oleh seorang Lans Koperal serta lapan orang mata-mata.
            Terdapat pelbagai cabaran yang pernah dihadapi oleh Pasukan Polis di kawasan Dengkil antaranya ketika zaman darurat yang berlaku pada tahun 1948 sehingga tahun 1960. Namun, dengan wujudnya semangat kerjasama yang kuat diantara orang awam dengan anggota Polis maka musuh luar yang memasuki negara ini dapat ditentang oleh pasukan keselamatan negara sehinggalah negara kita mula mengalami perubahan dalam mewujudkan keamanan dan semangat harmoni dalam kalangan masyarakat.
            Sehingga kini, Balai Polis Dengkil masih lagi memainkan peranan yang penting dalam menjaga keselamatan, ketenteraman dan kemesraan kepada seluruh penduduk di kawasan Dengkil.

PEJABAT POS DENGKIL
            Bukan itu sahaja, kemudahan untuk penduduk setempat membuat urusan surat-menyurat juga disediakan dengan mewujudkan sebuah pejabat pos. Pejabat Pos Dengkil mula dibuka pada 5 April 1982 dan lokasinya terletak di Batu 31 Jalan Banting Klang, Selangor yang berhampiran dengan Pekan Dengkil.

PRASARANA
Pada tahun 1990-an, kemudahan prasarana yang telah sedia wujud di Dengkil adalah dengan adanya kemudahan bas awam serta kemudahan teksi.
Menurut orang sumber, pada ketika dahulu bas yang digunakan di kawasan Dengkil untuk menuju ke Kajang adalah Bas Sam. Bas ini merupakan satu-satunya kemudahan pengangkutan yang ada pada ketika itu dan menjadi tumpuan orang ramai untuk menuju ke Kajang. Kemudian, selepas beberapa tahun wujud lagi satu syarikat bas dimana bas tersebut dikenali sebagai Bas Mara. Bas ini hanya menuju dari Dengkil ke Banting. Menurut pandangan orang sumber juga, bas ini hanya beroperasi dua kali sehari iaitu dari pada jam 8.00 pagi dan 3 petang.

SISTEM PERHUBUNGAN JALAN RAYA
            Menurut orang sumber, sistem perhubungan yang wujud sekitar tahun 1990 merupakan jalan raya yang menghubungkan dari kawasan Pekan Dengkil ke Kuala Langat dan Kajang. Manakala menerusi Jalan Air Hitam ia hanya menghubungkan sehingga ke Puchong. Namun, setelah beberapa tahun, sistem perhubungan di Dengkil ini mula mengalami perubahan dan telah dinaiktaraf oleh pihak kerajaan. Misalnya, pembinaan sistem pengangkutan jalan raya yang menghubungkan Dengkil ke Putrajaya. Suatu ketika dahulu, Putrajaya ini dikenali dengan nama Perang Besar dan selepas beberapa tahun nama tersebut mula ditukarkan secara rasmi kepada Putrajaya pada 12 Oktober 1994. Kawasan ini mula dibangunkan pada 16 April 1955 dan sekitar tahun 1999, pembinaan sebuah jalan raya yang menghubungkan Dengkil ke Putrajaya mula dibangunkan. Setelah memasuki tahun 2000, jalan raya tersebut telah mula digunakan oleh penduduk Dengkil ke Putrajaya. Pada tahun yang sama, jalan raya yang menghubungkan ke Putrajaya ini mula diperkembangkan dengan membina sebuah lagi jalan raya yang menghala ke Cyberjaya. Pembukaan Cyberjaya ini bermula pada Mei 1997 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Dr.Mahathir Mohammad.
            Seterusnya, ketika Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mula dibangunkan sekitar tahun 1990-an, jalan raya yang menghubungkan dari Dengkil ke KLIA telahpun mula dibina. Ketika itu, jalan raya untuk menghubungkan dari Dengkil hingga ke KLIA harus melalui beberapa susur laluan. Laluan yang harus dilalui adalah melalui jalan Dengkil-Banting kemudian melalui kawasan Bukit Changgang dan seterusnya tiba di Bandar Baru Salak Tinggi. Namun, selepas beberapa tahun pihak kerajaan telah membuat keputusan dengan membina sebuah laluan alternatif di mana ia boleh berhubung secara terus dari Dengkil hingga tiba di KLIA. Oleh itu, bagi memudahkan penduduk di kawasan Dengkil, sebuah lebuhraya telah dibina yang berupaya menghubungkan dari Dengkil menyusur ke Putrajaya, Kota Warisan, Bandar Baru Salak Tinggi dan seterusnya menuju ke KLIA.

PEMBANGUNAN, PETEMPATAN DAN INFRASTRUKTUR
            Dari segi pembangunan dan infrastruktur, awal tahun 1990-an pembangunan yeng telah wujud di Dengkil adalah terdiri daripada masjid, tokong cina, kawasan perumahan dan rumah-rumah kedai. Begitu juga dengan kewujudan prasarana yang telah sedia ada di Dengkil. Antara prasarana yang telah diwujudkan ialah kemudahan pengangkutan bas dan teksi.

            Namun, selepas beberapa tahun kemajuan mulai berlaku di kawasan Dengkil. Situasi ini menunjukkan bahawa kerja-kerja penaiktarafan mula digiatkan bagi memudahkan lagi penduduk Dengkil untuk menggunakan kemudahan yang telah sedia ada. Disamping itu, kawasan Dengkil juga kini mempunyai pelbagai jenis kawasan perumahan yang dibina. Misalnya perumahan teres dua tingkat, kondominium dan banglo dua tingkat. Hal ini menunjukkan bahawa kawasan perumahan yang dahulunya hanya perkampungan kecil kini telah berubah menjadi sebuah kawasan perumahan yang moden. Situasi ini telah membuktikan bahawa Dengkil kini sedang mengalami arus kemajuan setanding dengan beberapa kawasan lain seperti Putrajaya dan Cyberjaya.

Isnin, 6 Mei 2019

Sejarah suku che Wong

SEJARAH DAN KEBUDAYAAN
DAULAT DAN TULAH CHE WONG

Tahukah anda, terdapat satu suku kaum Orang Asli di Pahang yang katanya merupakan keturunan diRaja?

Suku kaum tersebut bernama Che Wong, suku kaum Orang Asli yang menetap di Raub, Temerloh, dan Jerantut. Populasi mereka amat kecil, yakni ni bawah 1000 orang. Ini kerana kawasan penempatan suku kaum Che Wong merupakan tempat persembunyian ahli Parti Komunis Malaya selepas Perang Dunia Kedua. Waktu itu, ratusan ahli suku kaum Che Wong telah dibunuh oleh PKM kerana telah disyaki memberi maklumat kepada pihak kerajaan.

Menurut laporan yang disediakan olah akhbar Kosmo!, suku kaum Che Wong ini dipercayai mempunyai hubung kain dengan Raja Siam. Salasilah keturunan diRaja Che Wong bermula apabila Wong, pewaris takhta Raja Siam telah jatuh cinta dengan Che, gadis daripada orang kebanyakkan.

Mereka berdua saling mencintai. Namun, hubungan mereka tidak direstui ibu dan bapa Wong kerana perbezaan status sosial. Disebabkan hubungan cinta mereka yang kuat, Wong telah membawa Che lari jauh dari Siam. Mereka menetap di satu tempat yang tersembunyi dan memulakan hidup mereka sendiri.

Dari situ bermulalah susur galur suku kaum Che Wong. Sehingga hari ini, mereka mempercayai bahawa kaum mereka mewarisi daulat dan tulah daripada moyang mereka Wong yang dikatakan sebagai anak Raja Siam.

Gambar sumber daripada Shahir Ramlan.

#fop
#facesofpahang
#sejarah
#kebudayaan
#orangasli
#chewong
#pahang

Ahad, 5 Mei 2019

Foto orang asli 1866-1952

Orang Selangor kat mana Bukit Sama
Gambar bawah adalah gambar orang asli di Bukit Sama  Selangor sekitar 1892-94
Jurufoto oleh Louis Lapicque (1866 - 1952)
Koleksi dari Musée de l'Homme (Photothèque
Di manakah lokasi Bukit Sama? Apakah nama terkini Bukit Sama?
)

Jumaat, 3 Mei 2019

Orang Asli Seletar

Ini lah orang asli singapura atau orang seletar yg tinggal atas air, rumah rakit di tebing sungai seletar 1870an,kini mereka menetap di kawasan persisiran sungai di gelang patah,Johor.