Rakaman peristiwa dan adat resam kaum jahut dan adat resam orang asli di malaysia,untuk tatapan generasi akan datang
Isnin, 12 Julai 2021
Nama aku Michael (cerpen OA)
Namaku Michael
Ingatkan berdikari dan bekerja sebagai buruh atau kuli kepada majikan ni perkara yang mudah. Rupa-rupanya, setelah hampir lima tahun bekerja dalam pelbagai jenis pekerjaan termasuk, pembinaan, kilang, ladang, security dan hotel, ternyata membuatkan aku menjadi muak dan bosan. Diawal 90'an memang sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang diminati kerana peluang yang terhad dan saingan yang hebat dari pendatang asing. Aku tidak suka menggunakan sijil pelajaran untuk mendapatkan sebarang kerjaya yang stabil. Aku cuma ingin mencari sebanyak mungkin pengalaman ketika itu. Walaupun aku layak memohon jawatan yang tetap dalam kerajaan, tetapi aku tidak suka terkongkong agak lama untuk mendapatkan pencen..
Ketika terkapai-kapai mencari jawapan untuk masa hadapan, aku mula terfikir, kenapa aku tidak pulang ke kampung halaman sahaja..? Aku tidak rasakan bandaraya Kuala Lumpur ini adalah terbaik buatku. Walaupun setiap bulan aku mampu mengirimkan sejumlah wang untuk keperluan ibuku, tetapi jiwaku kacau disini. Pengaruh dan keghairahan hidup di kota ini amat merbahaya buatku. Aku nyaris-nyaris mengambil keputusan yang salah apabila mengenali ramai teman-teman yang baru dikenali. Ada antara mereka adalah penagih dadah, pencuri, penipu, kaki mabuk dan perempuan, kaki gaduh, gay dan sebagainya. Paling teruk, aku hampir berkahwin dengan wanita Melayu, Cina dan Sikh.. Maklum ajelah, muda-muda dulu hensem jugak la ghaann 😝.. Nasib baik aku lekas-lekas sedar diri. Aku hanya budak miskin dan tidak beragama.Dan tidak mungkin aku boleh melupakan cara serta asal-usulku. Maka, selamatlah aku dari pengaruh dan godaan semua golongan itu..
Berbekalkan sedikit modal yang aku kumpulkan selama lima tahun bekerja di KL, aku memulakan hidup baru sebagai business man kononnya. Aku fikir, mungkin bidang baru ini adalah sesuai dengan jiwaku. Aku sudah muak bergelar kuli-kuli sahaja. Kena arah, maki, ugut macam hamba abdi. Enough is enough, gesaku dalam hati sambil memanjatkan doa kepada nenek-moyang dan Tuhan pencipta segala alam.. Aku memulakan bisnes pertamaku sebagai pemborong dan pembekal produk hasil-hasil kampung. Durian, petai, jering, bunga kantan, ayam kampung, sayuran organik kampung dan berbagai-bagai lagi yang boleh dijual..
Oleh kerana sikap semulajadi yang peramah dan muka tebal, aku boleh saja berjual-beli tanpa sebarang masalah dengan para pelangganku. Pada mulanya, bisnes itu begitu lumayan dan memberangsangkan. Daripada motosikal kapcai aku bertukar pula kepada proton saga. Dari proton saga bertukar kepada Mitsubishi pajero. Daripada Pajero, berdebukk.. jalan kaki.. Biasalah. Bila dah maju, ada-ada saja orang yang dengki. Setakat nak bersaing secara sihat tu, aku okey jaa.. Tapi, siap dengan hasutan, fitnah jahat, dengki khianat malah, tok bomoh pun masuk campur. Adehh..
Hampir dua tahun juga aku terlantar sakit mystery. Hinggakan semua harta yang terkumpul habis dijual untuk berubat di segenap daerah dan negeri. Kasihan kepada ibuku yang bertungkus-lumus menjaga dan berikhtiar untuk aku terus hidup. Sehinggalah pada suatu malam, aku didatangi oleh seorang lelaki yang mengaku aku adalah anaknya, dalam mimpiku itu. Beliau terlalu rindukan aku dan meminta maaf kerana meninggalkan aku sedari kecil. Setelah itu, beliau meminta izin untuk pergi. Dengan wajah yang bersinar-sinar tersenyum padaku, beliau semakin menjauh dariku. Aku cuba menahannya, aku ingin bertanya beribu persoalan. Malangnya, beliau menghilangkan diri begitu sahaja hingga membuatkan aku kecewa dan menangis tersedu-sedan. Rupa-rupanya aku teresak-esak hingga diluar mimpiku. Ibuku menjerit gembira. Aku kehairanan setelah terjaga dari tidur. Aku bertanya kepada ibuku, kenapa aku berada di wad hospital.. Ibuku dengan linangan air mata yang tidak terhenti-henti menjawab," Nak, kamu sudah hampir sebulan koma. Ibu bersyukur akhirnya kamu telah sedar.."
*Oklah, atas permintaan rakan-rakan sekalian, aku cuba sambung di lain waktu. Aku tak nak citer panjang-panjang nanti buang masa korang semua.. 😜😊
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan