Khamis, 8 Julai 2021

ASAL USUL TEMERLOH

Temerloh merupakan sebuah bandar yang maju dan tersusun. Ia terletak di Pahang Tengah dan merupakan pusat pertemuan diantara Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Temerloh juga terkenal dengan jolokkan Bandar Ikan Patin kerana ikan jenis ini banyak terdapat di sini, memandangkan bandar ini berhampiran dengan sungai yang lebih dikenali sebagai Sungai Pahang. Di sini diceritakan serba sedikit mengenai sejarah Bandar Temerloh. Menurut hikayat melayu dahulukala, Temerloh bukan sahaja tempat yang terakhir bagi Batin Seridun, dimana beliau menguasai kawasan antara Gunung Senyum di sebelah barat dan Bukit Gebuk di sebelah timur. Jesteru itu, nama ini telah dipilih oleh Batin Seridun bagi menamakan salah sebuah daerah di dalam negeri Pahang sejak daerah ini ditubuhkan mulai 1 Julai 1889. Menurut cerita Batin Seridun, pada suatu hari pada zaman dahulu, anak raja dari Minangkabau iaitu Sujudbilang dan abang-abangnya telah meninggalkan Minangkabau. Mereka berlayar ke Daik dan dari sana meraka ke Pahang. Setelah diperkenankan oleh Bendahara Pahang, mereka menaiki sebuah perahu galah lalu menyusur sepanjang Sungai Pahang. Setelah beberapa lama perahu itu mudik, maka perahu yang membawa rombongan itu telah sampai di tempat yang dikenali sebagai Sentang Mukim Kertau dalam daerah Maran. Mendengarkan ramai orang di darat, maka mereka pun singgah dan naik ke tebing untuk melihat keadaan sekeliling. Malangnya, kehadiran Sujudbilang dan abang-abangnya tidak diterima oleh penduduk di situ. Sehubung dengan itu, Sujudbilang dan abang-abangnya cuba berbaik-baik dengan orang asli yang berada di sekitar sungai iaitu di kiri dan kanan Sungai Pahang. Dalam pada itu, Sujudbilang berkata kepada abang-abangnya, " Ramah tamah pangkal, modal budi bahawa penambat hati pembuka manis, selera nafsu." Abang-abangnya faham akan maksud Sujudbilang tersebut. Maka mulai hari itu, di mana ada kampung orang asli pasti mereka akan singgah. Mereka memberi garam dan tembakau kepada orang-orang asli tersebut. Begitulah cara mereka menambat hati orang-orang asli yang ditemui. Sesudahnya mereka sampai di pengkalan Batin Seridun. Apabila mereka tiba di sana, perahu ditambat maka Sujudbilang dan abang-abangnya naik ke darat membawa garam dan tembakau. Jesteru itu, perhubungan Sujudbilang dan Batin Seridun semakin erat dan kukuh. Pada waktu malam pula, mereka tidur meniarap di atas tanah yang telah diatur daun-daun kering sebagai alas tidur mengelilingi unggun api. Manakala kaum perempuan ditempatkan di suatu tempat khas yang berasingan dengan kaum lelaki. Dalam ramai-ramai itu cuma anak perempuan tok batin yang tidak mahu melelapkan mata kalau tempat tidurnya tidak beralas. Mengikut cerita perkataan tidur dalam bahasa orang asli ialah "mereloh". Maka tempat mereka tidur beramai-ramai itu dibahasakan sebagai tempat "mereloh". Oleh itu, Sujudbilang dan abang-abangnya memanggil tempat orang asli itu tidur dengan "mereloh".Oleh kerana perkataan tempat "mereloh" itu panjang, maka ia dipendekkan kepada Temerloh supaya lebih senang menyebutnya. Itulah asalnya tempat yang dipanggil Temerloh dan Sungai Temerloh. Perhubungan Sujudbilang dan Batin Seridun menjadi lebih erat apabila Sujudbilang berkahwin dengan anak Batin Seridun yang bernama Bakoi. Dengan perkahwinan itu juga telah menyebabkan Batin Seridun dan orang-orangnya telah diISLAMkan oleh Sujudbilang. Peristiwa itu juga dikatakan telah mengembangkan agama ISLAM di Pahang Tengah. Sehubung dengan itu, pada 1 Julai 1889 J.P Roger, Residen British yang pertama mulai menjalankan tugasnya sebagai Residen British di Pahang. Beliau juga telah membahagikan Pahang kepada enam kawasan pentadbiran iaitu daerah Pekan, Rompin, Kuala Pahang, Kuantan, Temerloh dan Hulu Pahang. Ini bermakna tempat tinggal Batin Seridun yang diberi kuasa kepada Sujudbilang telah dipilih sebagai nama salah sebuah daerah di Pahang iaitu Temerloh. Pada masa itu bandarnya dikenali sebagai Kuala Semantan. Kuala Semantan telah ditukar kepada Temerloh semenjak bandar baru di barat bandar Kuala Semantan dibuka dalam tahun 1898.

Tiada ulasan: