Rakaman peristiwa dan adat resam kaum jahut dan adat resam orang asli di malaysia,untuk tatapan generasi akan datang
Rabu, 5 April 2023
Bila dihujung nyawa (cerpen)
Bila dihujung nyawa..
Pandak Apam berasa sakit hati betul dengan sikap dan tabiat anak-anaknya, yang enam orang itu. Tiga jantan dan tiga betina. Dahlah semuanya sudah berkahwin dan punyai anak tetapi, masih tidak boleh berdikari. Masih mahu tinggal dengannya dan isteri. Pandak tahu, mereka semua takut untuk hidup berasingan sebab, malas berusaha mahupun bekerja. Nasib baik pandak dapat rumah PPRT tiga bilik. Selebihnya, terpaksa Pandak sambung empat bilik lagi dengan menggunakan bahan-bahan hutan dan buangan. Kalau tidak, bagaimana mereka hendak buat anak..
Memang malang dan celaka betul nasib Pandak. Sejak mendirikan rumah tangga pada usia 15 tahun dengan isteri, Andak Seri, 13 tahun, dia bertungkus-lumus dan bermandikan keringat yang keras untuk membesarkan anak-anak. Kerja kuari sebagai buruh kasar sehinggalah belajar membawa berbagai jenis jentera dari lori hantu, Sawa, Excavator dan Bulldozer. Pada cuti pula, masuk hutan cari gaharu atau petai untuk pendapatan tambahan. Sekiranya cuti panjang seperti cuti perayaan, Pandak berkebun menanam pelbagai buah-buahan. Tidak ada istilah cuti atau rehat baginya. Sekiranya tidak ada overtime, dari jam 5 hingga 7 petang, dia akan menebas didusunnya. Menjelang malam pula, Andak Seri tergedik-gedik menuntut tanggungjawab..
Pandak tidak kisah bekerja keras sebagai tanggungjawab ketua keluarga tetapi, kenapa anak-anaknya tidak ada perasaan kasihan terhadapnya. Sudahlah mereka menamatkan awal persekolahan, menganggur dan berpoya-poya ditempat joget lambak. Akhirnya, yang perempuan bawa balik perut boroi dan yang lelaki, keluarga pihak perempuan datang menuntut tanggungjawab. Akhirnya, simpanan wang yang bertahun-tahun dikumpulkan, habis untuk majlis perkahwinan anak-anak. Ingatkan, bila sudah berkahwin akan berubah dan mula berdikari tetapi, itu semua tidak berlaku. Kerja sekejap berhenti. Lepas itu, cari kerja baharu pula. Kemudian, berhenti lagi dan cari kerja baharu lagi. Begitulah seterusnya. Puas sudah hingga berbuih-buih menasihat dan tunjuk ajar namun, umpama siram air didaun keladi. Marah lebih-lebih kang, emaknya pulak marah pada Pandak..
Nasib baik Pandak ada mengusahakan dusun buah-buahan bermusim sedikit-sebanyak, bolehlah menampung barangan dapur mereka sekeluarga. Walaupun bergaji tinggi sebagai pemandu jentera berat namun, tidak dapat menampung perbelanjaan besar mereka. Apatah lagi dengan kelahiran beberapa orang cucu yang memerlukan susu tepung dan pampers. Terpaksalah Pandak bersama isteri, bekerja sebagai Jaga atau sekuriti pada sebelah malamnya. Dan selain ada kebebasan sebagai suami-isteri, dapatlah wang tambahan. Bayangkan, setiap bulan Pandak perlu menyediakan tiga guni beras 50 kilo, 24 kilo gula, 30 dozen sardin besar, 50 peket minyak masak dan 50 kilo tepung gandum. Itu belum termasuk bawang, kari dan lain-lainnya serta bahan-bahan mentah..
Ya.. Nasib Pandak memang celaka. Dia menemui ajal bersama isteri dalam kemalangan, ketika menaiki motorsikal ke tempat Jaga. Kemungkinan akibat mengantuk setelah membawa jentera berat dipagi hari. Sejak peristiwa itu, baharulah anak-anak Pandak, mula huru-hara dan haru-beeru mencari pekerjaan untuk mengantikan tugasnya yang berakhir. Barulah masing-masing terkial-kial kais pagi makan pagi. Ada ketika, terpaksa ikat perut apabila beras dan barangan makanan yang lain kehabisan. Walau demikian, mereka tidak ada perasaan sedih atau kesedaran tentang kasih sayang dan pengorbanan Pandak dan isteri terhadap mereka. Malahan, masing-masing bertengkar sesama sendiri tentang pembahagian wang KWSP dan PERKESO ayah mereka itu..
karya asal-Bah Akim
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan