Jumaat, 17 Mei 2019

WIRA TANAH ADAT ORANG ASLI/ASAL

SAGONG TASI: WIRA & PEJUANG MASYARAKAT ORANG ASLI YANG TIDAK DIDENDANG

Pada tahun 1995, kira-kira 40 buah keluarga suku Temuan Orang Asli telah diusir dari rumah mereka di Kampong Bukit Tampoi, Dengkil, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya KLIA-Nilai.

Rumah-rumah mereka, hasil tanaman dan ternakan suku Temuan ini dihancur dan dimusnah oleh anggota-anggota FRU dan jentolak-jentolak milik pihak berkuasa. Mereka yang diusir tidak diberi pampasan setimpal, meskipun tanah adat dirampas begitu sahaja.

Pada ketika itu, undang-undang Malaysia tidak mengiktiraf sebarang tanah adat. Pada ketika itu, kerajaan Barisan Nasion menguasai lebih dua pertiga Dewan Rakyat dan Dewan Negeri Selangor.

Tetapi Sagong Tasi bersama lebih 30 keluarga memberanikan diri ke depan. Mereka membuat keputusan untuk saman Kerajaan Persekutuan Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) bagi membela hak komuniti Orang Asli.

Orang ramai menganggap kes mahkamah Sagong Tasi vs Kerajaan sebagai pertarungan David dan Goliath.

Tetapi keberanian Sagong Tasi dan suku Temuan Kampong Bukit Tampoi akhirnya membuahkan hasil. Pada tahun 2002, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat ruling bahawa suku Temuan adalah pihak yang mempunyai hak ke atas tanah adat Kampong Bukit Tampoi.

Sagong Tasi bersama dua lagi pemimpin komuniti Temuan telah memainkan peranan yang cukup besar dalam meyakinkan pihak mahkamah bahawa adat, kepercayaan, budaya, tradisi dan cara kehidupan suku Temuan masih diwarisi secara turun temurun dalam kalangan Orang Asli, khususnya suku Temuan di Kampong Bukit Tampoi.

Tidak puas hati, kerajaan BN dan pemaju merayu keputusan tersebut ke peringkat Mahkamah Rayuan. Pada tahun 2005, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi, dan mengarah kerajaan serta pemaju membayar pampasan kepada penduduk suku Temuan yang tanahnya dirampas.

Namun, sekali lagi kerajaan BN merayu keputusan Mahkamah Rayuan ke peringkat tertinggi, yakni Mahkamah Persekutuan.

Tetapi belum sempat rayuan terakhir didengar oleh Mahkamah Persekutuan, Pakatan Rakyat telah berjaya mengambil alih pentadbiran negeri Selangor pada 8 Mac 2008.

PR dengan kadar serta merta menangguhkan rayuan yang difailkan kerajaan BN sementara kerajaan Selangor mengkaji semula kedudukan negeri Selangor berkenaan hak-hak orang asal.

Pada bulan 22 April 2009, sebagai bukti komitmen Pakatan Rakyat terhadap hak-hak orang asal, rayuan tersebut secara rasminya ditarik balik.

Tindakan tersebut disusuli dengan pembentukan Badan Bertindak Tanah Orang Asli yang diselia oleh YB Elizabeth Wong, bagi tujuan melatih komuniti Orang Asli memetakan tanah adat mereka, serta membuat program-program kesedaran mengenai hak-hak Orang Asli.  Hasilnya, lebih 35 kampung Orang Asli di seluruh negeri Selangor telah diwartakan sehingga hari ini.

Pada bulan Mei 2010, hasil peranan kerajaan negeri sebagai pengantara, kedua-dua pihak, yakni suku Temuan dan pemaju pun mencapai persetujuan pampasan untuk dibayar kepada setiap keluarga yang tanahnya dirampas.

Pada November 2014 pula, dalam pembentangan belanjawan tahun 2015, YAB Dato' Menteri Besar Azmin Ali telah mengumum bahawa sejumlah RM10 juta telah diperuntukkan untuk menubuhkan suatu tabung biasiswa sempena Sagong Tasi.

Biasiswa Sagong Tasi ini bertujuan membiayai penuh pengajian anak-anak Orang Asli di UNISEL, KUIS ataupun INSPENS. Dan Deana Rose dari suku Mah Meri di Pulau Carey, Klang telah menjadi pemegang biasiswa pertama.

Biasiswa Sagong Tasi dikekalkan oleh kerajaan negeri sehingga hari ini. Satu, demi mengenang peranan Sagong Tasi. Kedua, demi memudahkan akses golongan Orang Asli kepada pendidikan berkualiti. Terbaru-baru ini, dalam belanjawan negeri Selangor 2019, YAB Dato' Menteri Besar Amirudin Shari telah mengumum bahawa Biasiswa Sagong Tasi adalah sebahagian daripada sejumlah RM16.6 juta yang diperuntukkan untuk tujuan biasiswa pendidikan.

Pada kira-kira 11.15 malam, 14hb April 2019, Sagong Tasi yang berumur 88 tahun telah meninggal dunia.

Insan ini tokoh yang disanjung oleh masyarakat Orang Asli kerana keberaniannya menegakkan hak-hak Orang Asli. Perjuangannya akan dikenang selama-lamanya. Kes mahkamah yang dimenanginya akan kekal menjadi sumber rujukan peguam-peguam dan pejuang-pejuang hak dan tanah adat Orang Asal. Dan namanya akan terus menjadi inspirasi perjuangan kepada komuniti-komuniti yang tertindas.

Sesungguhnya pejuang masyarakat ini telah memberi dampak positif kepada komunitinya. Agak jelas, hasil keberanian, kesungguhan dan semangat Sagong Tasi dalam membela hak Orang Asli lebih dua dekad yang lalu, kedudukan Orang Asli kini lebih terbela berbanding dahulu.

Ninik Sagong, semoga tenang di sana.

Tiada ulasan: