CERITA RAKYAT
BAIK SEBELUM : 16 APRIL 1997
Kejadian ini berlaku 2 tahun lepas, sewaktu aku dalam perjalanan ke ibu kota untuk melanjutkan pelajaran. Memandangkan itu kali pertama aku akan berjauhan dengan keluarga, maka ibu dan bapa aku telah membuat keputusan untuk menghantarku ke pusat pengajian. Mahu tengok tempat, katanya.
Perjalanan aku dari rumah di Jerantut bermula jam 9 pagi. Setelah beberapa jam berada di atas lebuh raya, maka ayah pun berhenti di sebuah pusat rehat dan rawat yang besar dan terkenal di Pahang. Selepas menjamu makanan, aku pun pergi ke tandas untuk melepaskan hajat besar. Selesai melepaskan hajat, aku pun menarik pam sebanyak tiga kali. Walaupun menarik pam sebanyak satu kali sudai memadai, namun sudah menjadi tabiat aku untuk menarik pam tandas sebanyak tiga kali untuk memastikan tiada sisa yang terzahir.
Apabila sempurna segalanya, aku pun membuka pintu dan melangkah keluar. Aku bergerak ke sinki untuk mencuci tangan dan waktu aku, aku merasakan sesuatu yang berbeza. Waktu itu, aku fikir, mungkin mainan perasaan sahaja.
Maka aku pun terus bergerak ke meja makan ibu dan ayah, tetapi mereka tiada. Meja tersebut sudah diduduki orang lain. Aku pun mengambil telefon bimbit untuk membuat panggilan namun tiada perkhidmatan. Lalu aku pun bergegas ke tempat meletak kereta, namun kereta bapa tidak aku jumpa.
Perasaan aku semakin resah. Fikiran aku buntu. Kerana tidak tahu hendak buat apa, aku pun medan selera. Sedang aku duduk, aku amati keadaan sekeliling. Waktu itu, aku dapati keadaan yang berbeza.
Meja dan kerusi tidak sama seperti yang aku lihat sewaktu baru sampai tadi. Kereta yang lalu lalang kebanyakkannya kereta lama yang aku sendiri tidak tahu namanya. Tiada langsung kelihatan kereta MyVi. Cara pemakaian orang sekeliling juga jauh berbeza. Rata-rata wanita tidak mengenakan hijab. Yang memakai hijab boleh dikira dengan jari. Golongan remaja pula menghiburkan diri dengan musik menggunakan sesuatu yang kelihatan seperti iPod, tetapi jauh lebih tebal dan besar. Ada yang berbentuk segi empat, dan ada juga yang berbentuk bulat.
Setelah duduk di situ beberapa ketika, aku pun merasa dahaga. Maka aku pun pergi ke kedai menuman, minta air Milo ais, lalu menghulurkan sekeping RM5 kepada penjaga kedai. Penjaga kedai itu meneliti wang aku, lalu menyatakan yang ianya palsu. Aku merasa amat terkejut dan menyatakan bahawa itu wang betul.
Dia pun memanggil rakan sekerjanya lalu menunjukkan wang aku, dan rakan sekerjanya turut setuju dengan kenyataan bahawa wang RM5 aku itu palsu. Dia pun menunjukkan wang RM5 yang sebenar. Memang ternyata berbeza. Wang RM5 aku seakan-akan plastik, manakala wang RM5 mereka tidak begitu. Walaupun warnanya sama hijau, namun ianya berbeza. Kerana tidak mahu berkelahi, aku pun mengalah dan berlalu pergi.
Waktu itu, aku sungguh-sungguh buntu. Maka aku pun pergi ke tempat yang agar tersorok dan menangis. Aku tidak tahu apa yang sudah terjadi. Kenapa keadaan begitu aneh sekali. Sehingga aku didatangi seorang jejaka. Dia duduk di sebelah aku dan meletakkan sekotak minuman berhampiran denganku. Aku cuma menjeling, tidak berbuat apa-apa.
“Minum dulu, nanti aku tolong selesaikan masalah kau” kata lelaki itu bersahaja. Sepantas kilat, aku mengambil air susu kotak dan minum dengan segera. Lelaki itu menyalakan sebatang rokok lalu berkata “Aku tak tahu macam mana kau boleh sampai ke sini, tapi yang pasti, ini bukan tempat kau. Kau dah sesat.”
Aku diam dan angguk. “Kalau kau nak balik, kau perlu buat perkara sama yang kau buat sebelum sampai ke sini. Kau fikir lah, apa yang kau buat, tapi orang lain tak buat?” Lelaki itu pun mematikan rokoknya dan berlalu pergi begitu sahaja. Tidak sempat aku nak bertanya apa-apa.
Sambil membawa air susu kotak, aku pun berlari ke tandas, masuk ke jamban ketiga, jamban sama yang aku masuk sebelum keanehan ini berlaku, lalu menarik pam sebanyak tiga kali. Selepas beberapa ketika, aku pun melangkah keluar dengan perlahan-lahan. Perkara pertama yang aku lihat adalah kerata, aku nampak MyVi. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya aku untuk melihat kereta MyVi ketika itu.
Kaki aku pun bergerak pantas menuju ke medan selera untuk cari ibu dan ayah, tetapi mereka tidak ada. Di tempat letak kereta pun begitu juga. Kemudian, aku keluarkan telefon bimbit lalu menelefon ibu. Ibu mengangkat lalu menjerit bertanyakan lokasi. Aku menyatakan bahawa aku di pusat rehat dan rawat. Ibu berkali-berkali menyebut nama Tuhan lalu menyuruh aku tunggu, mereka akan mengambil aku dengan segera. Kata ibu, sudah tiga hari mereka mencari aku tetapi tidak jumpa.
Sambil menunggu ibu, aku pun menghabiskan air susu kotak yang tersisa. Apabila aku hendak buang kotak ke dalam tong sampah, aku ternampak melihat tulisan kecil yang dicetak di atas kotak tersebut. Ianya bertulis ‘BAIK SEBELUM : 16 APRIL 1997’.
#fop
#facesofpahang
#ceritarakyat
#pahang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan