Ahad, 13 Jun 2021

Sejarah Nama Kajang

Asal Usul Bandar Kajang. Sejarah asal usul nama Kajang ialah ianya dikatakan berasal dari peristiwa pergaduhan diantara masyarakat etnik Mandailing dan etnik Melayu Bugis di kawasan tersebut kerana salah faham maksud 'Berkajang'. Maksud 'Berkajang' bagi orang Mandailing ialah berpondok, sementara bagi masyarakat Melayu Bugis, ianya membawa erti bertikam atau bergaduh. Kedua-dua masyarakat ini bertembung sewaktu melarikan diri dari perang saudara yan berlaku di Kelang (1867 - 1873). Peristiwa tersebut akhirnya telah mengilhamkan nama Kajang. Ada versi lain bagaimana Kajang mendapat nama ialah melalui peritiwa pembukaan kawasan ini oleh Raja Alang yang berketurunan Mandailing pada awal tahun 1800. Rombongan Raja Alang tiba di Tanah Melayu melalui jalan air, iaitu dengan menyusuri Sungai Langat. Rombongan ini kemudiannya berhenti di suatu kawasan lalu 'berkajang' atau berpondok. Kawasan tersebuat kemudiannya dinamakan 'Kajang' oleh Raja Alang dan tempat dimana mereka 'berkajang' pada ketika itu, kini diberi nama Jalan Mandailing. Kajang adalah antara kawasan di Selangor yang mempunyai sejarahnya yang unik, selain terkenal dengan makanan Satay, Penjara Kajang ( antara penghuninya yang popular ialah Mona Fendey, Suhaimi Mat Hassan (Pembunuh Noor Suzailly), Imam Hoslan Hussain (baling kasut ke hakim) serta Abdul Kahar Ahmad yang mengaku 'Rasul Melayu') dan kisah Leftenan Adnan (beliau dilahirkan di Kampung Sungai Ramal, Kajang dalam tahun 1915). Menurut pengkaji sejarah tempatan, Shahabudin Ahmad, Kajang telah diterokai sekitar tahun 1709 (namun ada sumber yang meletakkan tahun yang lebih awal, iaitu 1580) oleh sekumpulan masyarakat orang asal dari suku kaum temuan yang berasal dari Klang. Kumpulan ini diketuai oleh Batin Seri Alam, beliau mempunyai tiga orang anak yang kesemuanya merupakan pemerintah yang membuka beberapa kawasan di Tanah Melayu. Anak-anak Batin Seri Alam yang dimaksudkan ialah, Nenek Kerbau (Pemerintah di Johol), Tok Jeludang (Pemerintah di Jelebu) dan Batin Berchanggi Besi (berkuku besi) yang merupakan pemerintah di Sungai Ujong. Tetapi menurut Buyong Adil, anak Batin Seri Alam ada empat orang, selain yang disebut oleh Shahabudin Ahmad, terdapat anak yang bongsu, ialitu Tok Jelondong yang tinggal di Lengggeng, yang pada masa itu berada dalam Daerah Sungai Ujong, kekandanya Batin Berchanggi Besi yang merupakan pemerintah Daerah Sungai Ujong tinggal di Baranang. Nama Kajang diberi bersempena dengan peristiwa rombongan Batin Berchanggi Besi yang pulang dari mengadap pemerintah di Johor atas urusan menjodohkan anakandanya Puteri Mayang Selida. Sewaktu dalam perjalanan pulang di Johor ke Sungai Ujong, rombongan Batin Berchanggi Besi terpaksa berhenti di suatu kawasan kerana bimbang akan hujan ribut yang akan menimpa kerana cuaca pada ketika itu amat mendung. Rombongan tersebut telah membina beberapa buah pondok untuk berteduh dan menggunakan mengkuang hutan sebagai atap kepada pondok-pondok tersebut. Mengkuang hutan yang digunakan sebagai atap itu juga dikenali sebagai 'Kajang', maka atas peristiwa tersebut, maka kawasan itu dinamakan Kajang. Namun tidak pasti adakah nama Kajang ini ada kaitanya dengan 'Pak Malau' melalui pantun yang dipopularkan oleh Nordin Ahmad melalui watak Demak dalam filem 'Sri Mesing' (1961) yang berbunyi 'kajang Pak Malau, kajang Berlipat, kajang hamba, mengkuang layu'.

Tiada ulasan: