Menjengah majlis pelantikan Tok Batin secara beradat kaum Temuan di Kampung Orang Asli Kolam Air Mukim Pantai dekat sini, pastinya sesuatu yang cukup unik dan istimewa.
Ini kerana, pelakuan adat itu sudah lama tidak dipertontonkan secara umum dan menjadi rakaman bersejarah kepada masyarakat Orang Asli, begitu juga bagi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri ini.
Malahan inilah kali pertama ia dilangsungkan dengan penuh adat oleh masyakat Orang Asli suku Temuan di negeri ini, lebih-lebih lagi ditampilkan 12 panglima yang menjadi pendukung kepada kekuatan Tok Batin yang baharu dilantik.
Gelaran seperti Pemangku Tok Batin, Panglima Singo, Panglima Helang, Panglina Bebas, Penglima Kencang, Panglima Putih, Panglima Angin, Tok Menteri, Panglima Tuhak, Tok Penghulu Balai, Panglima Hitam dan Tok Jenang akan menjadi ‘orang kanan’ kepada Tok Batin di kampung berkenaan selepas selesai adat pelantikan itu.
Menurut Tok Jenang, Gobak Batin Baba, 52, adat pelantikan itu banyak yang sudah dilupakan dan amat perlu hal itu kembali dipertontonkan supaya generasi pada hari ini tahu bahawa pelantikan Tok Batin yang baharu itu perlu mendapat restu ‘anak buah’, datuk lembaga adat Orang Asli serta perkenan daripada Panglima Sultan iaitu orang berpengaruh dalam majlis berkenaan.
“Ini bukan soal main-main. Dalam pelantikan Tok Batin baharu Kampung Orang Asli Kolam Air ini iaitu Ali Ngokngok, ia hendaklah disepakati oleh ‘anak buah’ lebih-lebih lagi individu itu ada hubungan kepada Tok Batin lama yang telah meninggal hampir empat tahun lalu,” ujarnya di sini baru-baru ini.
Katanya, pelantikan Ali Ngokngok, 50, itu akan hanya sah selepas dimasyhurkan oleh Panglima Sultan, Tahok Buai, 85 yang terlebih dahulu akan melaksanakan majlis penurunan hak dan kuasa keatasnya.
“Majlis itu berlangsung diawalnya dengan perarakan oleh empat wanita yang berjalan sambil menarik dengan busana Orang Asli diiringi oleh paluan ketukan kayu mahang.
“Kemudian ia diikuti oleh 12 panglima tadi di mana, Tok Batin Ali akan berada di tengah-tengah barisan panglima untuk berjalan ke arah tapak pelaksanaan adat yang digelar sebagai ‘Payung dikembangkan, Tombak ditegakkan’.
“Disitulah, Panglima Sultan membaca mentera sebelum meminta Tok Batin Ali berdiri dibawah payung dengan mukanya, kaki dan tangan disapu bedak beras, ditepung tawar dan daun ‘dingin’. Itu akan diikuti oleh semua 12 panglima yang disepakati jawatan masing-masing,” ujarnya.
Selepas itu kata Gobak, Panglima Sultan memashyurkan Tok Batin Ali sebagai Tok Batin Kampung Orang Asli Kolam Air yang baharu dan menasihatkan supaya menjaga ‘anak buah’, ketertiban adat, perihal kampung dan kemajuannya.
Tambah Gobak, pelantikan yang dibuat itu disebabkan kematian Tok Batin sebelumnya dan ia tidak boleh diperturunkan oleh anak, melainkan cucu atau anak buah yang ‘seperut’ (satu kelahiran) dengannya, selain berkemampuan menjadi rujukan dalam soal nikah kahwin, kenduri kampung, kesihatan dan perihal masyarakat.
“Manakala 12 panglima yang dipakaikan gelaran itu akan bertanggungjawab soal menjaga keharmonian kampung terutama dalam mengendalikan program dan majlis keraian, gotong royong, kematian dan sebagainya. Mereka apabila dipanggil oleh Tok Batin hendaklah bersegera hadir melaksanakan kerapatan anak buah,” ujarnya.
Kampung Orang Asli Kolam Air ini dibuka pada tahun 1945, mempunyai 194 penduduk (anak buah), dengan 41 buah rumah, di mana sebahagian besarnya bekerja sendiri (menguruskan ladang dalam kawasan rayau).
Sumber : utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan