Khamis, 27 Disember 2018

Suku Temuan

KAUM TEMUAN 

~ Kaum Temuan (Temuan: Uwang/Eang Temuan) ialah suku kaum yang mendiami di kawasan yang merangkumi negeri-negeri seperti Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan di Semenanjung Malaysia. Ini menjadikan Temuan antara kaum Orang Asli paling tersebar dan paling besar jumlahnya iaitu seramai 30,000 orang. Mereka tergolong dalam kategori "Proto-Melayu" yang merupakan sebahagian daripada Orang Asli Semenanjung. 

== SEJARAH ==
Mengikut kepercayaan orang Temuan, semua kaum Temuan ini adalah dari dua orang yang terselamat dari bencana banjir yang telah meragut nyawa kaum mereka kerana telah memurkai para dewa (celau dalam bahasa Temuan). Antara dua yang terselamat itu ialah Mamak Bungsuk dan Inak Bungsuk, mereka telah melarikan diri ke Gunung Gajak (Gunung Rajah, Pahang) dan berjaya menenangkan celau tersebut dengan menggunakan mantera. Sehingga kini, Gunung Gajak ialah tempat suci bagi kaum Temuan kerana disitulah dikatakan tempat mereka berasal. 

Orang Temuan walaupun berbahasa Austronesia tetapi dari segi genetik lebih ke arah Austroasiatik/Mon-Khmer. Ini menunjukkan terdapat perkahwinan campur antara orang Senoi dan orang Malayik yang lalu melahirkan kaum Temuan seperti yang kita kenal pada hari ini.

== ADAT BUDAYA DAN AGAMA ==
Secara adat dan kebudayaan, orang Temuan mengamalkan sifat matrilineal iaitu harta akan diwariskan ke sebelah ibu dan berpegang teguh kepada adat. Terdapat 7 struktur hierarki dalam adat Temuan dan setiap hierarki itu ada tugas masing-masing, ia bermula dari Tok Batin (ketua), Mangku (pembantu Tok Batin), Jenang (ketua adat), Metenyik (penasihat Batin), Jekerah (Mengurus hal Enekbuah), Panglimak (Pembantu Jekerah), Bidan/Bomoh/Dukun dan Enekbuah (orang biasa). 

Setiap tahun, orang Temuan akan mengadakan perayaan "Aik Gayak Muyang" (Hari Raya Moyang) sebagai tanda terima kasih pada Tuhan, memperingati nenek moyang mereka serta untuk mendapat tuah bagi tahun akan datang. Walaupun majoriti orang Temuan sudahpun ikut agama lain seperti Islam, Kristian dan Buddha, namun perayaan ini masih lagi disambut atas dasar kebudayaan serta untuk merapatkan silaturrahim dengan saudara mara serta rakan-rakan.

== BAHASA == 
Bahasa Temuan (Bahasak Temuan) ialah bahasa asli bagi kaum Temuan. Ia adalah antara beberapa bahasa Orang Asli yang tidak tergolong dalam keluarga bahasa Mon-Khmer, sebaliknya ia adalah sebuah bahasa Malayo-Polinesia yang sangat rapat dengan bahasa Melayu. Walaupun pada umumnya bahasa Temuan ini tidak jauh dengan bahasa Melayu, tetapi bahasa Temuan mempunyai ciri fonologi dan kosakata yang unik dan beberapa kosakata tersebut adalah dari bahasa-bahasa Aslian. Bahasa Temuan mempunyai dua dialek utama iaitu Mantra dan Belandas. Dialek Belandas ini boleh dikatakan dialek standard bagi Temuan kerana ia selalu digunakan di dalam lagu-lagu bahasa Temuan.



Tiada ulasan: