Sabtu, 16 Februari 2019

Catatan tentang Orang Asli perak sekitar tahun 1880-1881

Pictorial & Sejarah - Xavier Brau de Saint-Pol Lias di Pérak –1880 -1881.

Deskripsi :

Xavier Brau de Saint-Pol Lias (1840-1914) peneroka (Explorer) yang bernaung di bawah Société de géographie bersama John Errington de La Croix (1848-1905)  peneroka (Explorer) dan Jurutera Lombong, kedua-duanya dari Perancis tiba di negeri Perak di atas undangan Sir Hugh Low, Residen Inggeris yang menetap di Kuala Kangsar. 

Ketibaan mereka berdua ini merupakan satu detik sejarah yang penting di Perak dan Tanah Melayu berikutan bermulanya penglibatan secara langsung bangsa Perancis dalam Industri penerokaan, pelaburan serta perlombongan melalui penubuhan Société des Étains de Pérak dan  Société des Étains de  Kinta hasil dari penganugerahan konsesi lombong bijih timah bagi kawasan Kinta pada 1883.

Sebelum itu Xavier Brau de Saint-Pol Lias, sudah lama aktif dengan menjalankan aktiviti penerokaan, perladangan serta perlombongan di Sumatra dan Acheh. Berikutan berlakunya perluasan dan cubaan Belanda yang ingin menawan wilayah Acheh yang membawa kepada peperangan Belanda – Acheh 1873, mereka cuba beralih arah ke Tanah Melayu yang lebih selamat dan keadaan politiknya yang stabil.

Selain dari gemar merakam foto-foto panorama dan alam sekitar, Xavier Brau de Saint-Pol Lias  amat meminati dan banyak mengumpulkan informasi masyarakat Orang Asli (sakai) yang bermastautin di sekitar negeri Perak. foto-foto orang ‘Sakai’ ini merupakan sebahagian dari koleksinya di Perak yang kini menjadi rujukan penting dalam kajian anthropology orang-orang asli di Malaysia.

Rujukan :
1.Koleksi Foto-foto Xavier Brau de Saint-Pol Lias.
2.Bibliothèque nationale de France.
3.Nationaal Museum van Wereldculturen.
4.French Enterprise in Malaya. J. Sig D. Rawlins. 1966. JMBRAS.
5.The French in Sumatra and the Malay world, 1760-1890. A. Reid.KITLV Journal.

Tiada ulasan: