Khamis, 18 Julai 2019

Kisah BADANG

Badang

Kota Tinggi: Kesan tinggalan dan bukti yang boleh dikaitkan dengan kekuatan Badang di Kampung Orang Asli Sayong Pinang menguatkan lagi kewujudan lagenda orang kuat itu.

BH meneruskan usaha mengumpul maklumat mengenai latar belakang Badang daripada pakar sejarah dan dokumentasi yang pernah dihasilkan berkaitan lagenda berkenaan.

Kurator Muzium Kota Tinggi, Mohd Azlan Hafiz Mohti, berkata mengikut Sejarah Melayu, Badang dikenali sebagai hulubalang kerajaan Temasik (kini Singapura) ketiga, Raja Seri Rana Wikerma iaitu antara tahun 1362 hingga 1375.

Katanya, Badang berasal dari Sayong (hulu Sungai Johor) dan bekerja di ladang kepunyaan seorang tuan tanah iaitu Orang Kaya Nira Sura di Seluang, tidak jauh dari kawasan Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

"Badang disifatkan sebagai anak muda yang berkebolehan istimewa, dengan watak gagah sebagai panglima tetapi badannya tidak begitu besar dan tidak berubah menjadi terlalu besar ketika beradu kekuatan.

"Kepahlawanannya berbeza dengan pahlawan Melayu lain tetapi persamaannya beliau secara rasmi dilantik sebagai hulubalang kerajaan. Badang tidak pernah terbabit dalam siri peperangan dan tidak menggunakan senjata, sebaliknya kekuatan beliau adalah luar biasa dan semula jadi," katanya.

Mohd Azlan berkata, beberapa kisah kesaktian Badang juga menjadi bualan, antaranya kehebatan beliau mendayung sampannya yang mana sekali Badang menghayun dayungnya, sampannya akan bergerak dan sampai ke lokasi yang jauh.

"Mengenai kematian Badang, diceritakan sama seperti orang biasa lain kerana mati disebabkan sakit tua dan kuburnya terdapat di sebuah kawasan hutan di pinggir Desa Kandis, Pulau Buru di Karimun, Kepulauan Riau, Indonesia," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Kota Tinggi, Amad Bahri Mardi, berkata ada empat kisah Badang yang sering diceritakan kepada umum.

"Kisah pertama ialah ketika Raja Seri Rana Wikerma menyuruh Badang memetik daun kuras di Kuala Sayong untuk dijadikan ulaman bagi santapan baginda, Badang berjaya mengambil daun berkenaan walaupun sukar.

"Namun, Badang terjatuh menyebabkan kepalanya terhentak pada sebiji batu besar. Badang tidak cedera sebaliknya batu berkenaan terbelah dua. Atas ujian itu, beliau diberi penghargaan oleh raja dengan satu persalinan pakaian dan dibenarkan tinggal di kawasan kota, tidak jauh dari istana," katanya.

Amad Bahri berkata, dalam satu lagi peristiwa, Badang membantu 300 pemuda yang gagal menolak kapal ke laut dan selepas membuktikan kebolehannya menolak kapal dengan hanya sebelah tangannya, raja begitu kagum dan melantiknya menjadi Hulubalang Diraja.

"Kisah ketiga adalah ketika Singapura didatangi satu utusan dari benua India berserta 70 kapal untuk menguji kekuatan Badang dengan hulubalangnya, Nadi Bijaya.

"Dalam pertandingan itu, kedua-dua hulubalang kerajaan itu mendapat keputusan seri. Nadi Bijaya kemudian mencadangkan siapa yang dapat mengangkat batu besar berhampiran istana akan menjadi pemenang.

"Nadi Bijaya hanya mampu mengangkat batu itu sehingga paras lutut sebelum meletakkannya kembali ke tanah, namun Badang berjaya mengangkat batu itu melebihi paras kepala sebelum melemparkannya ke laut," katanya.

Beliau berkata, kisah keempat adalah ketika pahlawan kerajaan Perlak dari Sumatera, Benderang tidak sanggup beradu kekuatan dengan Badang kerana menyedari Badang jauh lebih kuat daripadanya.

"Seorang ahli sejarah Riau, Indonesia, Syarif Muhammad Salleh, pernah mengatakan kehebatan Badang memang tidak boleh dinafikan, tetapi perbuatan memakan muntah hantu disifatkan sebagai merosakkan citra pahlawan Melayu.

"Kata Syarif, kisah Badang diubah pihak Barat untuk memberi gambaran buruk kepada sikap orang Melayu tetapi beliau mahu masyarakat Melayu percaya bahawa kisah Badang bukan cerita dongeng," katanya.

INFO:

- Badang dilantik Hulubalang Diraja ketika zaman pemerintahan kerajaan Temasik ketiga (1362-1375).

- Berasal dari Sayong (hulu Sungai Johor), ada juga mendakwa Badang berasal dari Sungai Sisek juga di hulu Sungai Johor.

- Kuburnya wujud dan terletak di Pulau Buru, Karimun, Indonesia.

*Petikan dari Berita Harian
*Sayong Pinang ni kawasan kampung aku..

Che'gu Rosman
#Badang
#kota tinggi johor
#sayongpinang